Tuesday, March 25, 2008

MENGAPA BERLAKU JUGA FENOMENA JAHILIAH DI ZAMAN MODEN ?

Dunia hari ini sedang dicengkam oleh gejala jahiliah moden yang melanda di merata-rata. Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa masyarakat dunia sedang ditimpa berbagai penyakit kronik. Saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita peperangan, pembunuhan, penipuan, rompakan, penyalahgunaan wang dan kuasa, penindasan, salah guna dadah, pelacuran, rogol, sumbang mahram, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan lain-lain lagi.
ULASAN
Gejala sosial yang melanda manusia hari ini makin berleluasa dengan tidak mengira bangsa, agama, keturunan dan kedudukan. Kesemua peringkat masyarakat daripada kanak-kanak hingga orang dewasa tidak terlepas daripada `virus` yang sangat merbahaya ini.
Para cerdik pandai dan pihak-pihak yang berwajib telah mengusahakan berbagai kaedah untuk mencari formula mengatasinya, tapi nampaknya seolah-olah usaha-usaha ini telah menemui jalan buntu. Makin dibendung makin menjadi-jadi. Makin dikaji makin berleluasa. Malah kadar jenayah sama ada jenayah berbentuk kriminal, sosial, ekonomi, politik dan kekeluargaan makin meningkat di merata dunia.
Di tengah kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi hari ini manusia hidup dalam serba ketakutan dan kegersangan. Seolah-olah kemajuan teknologi dan masalah gejala sosial sama-sama naik. Dunia ini bagaikan tidak menjanjikan keindahan dan keselamatan lagi. Betapa menderitanya hidup dalam suasana begini. Bagaikan neraka sebelum Neraka. Umat Islam juga tidak terkecuali turut terlibat dalam gejala ini.
Dalam iklim dunia yang sedang kritikal ini, di waktu manusia sedang mencari-cari jalan keluar kepada persoalan ini,apakah Islam tidak mempunyai formula untuk menyelesaikan kemelut dunia hari ini? Memandangkan percubaan demi percubaan melalui segala bentuk formula rekaan fikiran manusia telah dicuba dalam menangani gejala yang makin meruncing ini, namun hasilnya tetap mengecewakan.
Segala cerdik pandai, para filasuf, para pendidik, para pemikir yang telah mencipta pelbagai kefahaman dan ideologi telah mengerahkan seluruh daya akal fikiran mereka bagi mencari formula untuk menyelamatkan dunia serta para penghuninya. Tetapi ternyata akal semata-mata telah gagal dalam menangani kemelut dunia yang semakin kronik ini. Maka apabila akal telah buntu, manusia perlu mengubah semula pola pemikiran mereka dengan mencari jalan keluar yang terjamin tepat dan selamat iaitu dengan merujuk kepada sistem roh. Dalam erti kata lain manusia perlu kembali merujuk kepada Tuhan, menggunakan sistem Tuhan dan dipimpin oleh orang Tuhan dalam memulihkan kerosakan masyarakat yang kian meruncing ini.
Peranan roh sebenarnya cukup penting dalam kehidupan manusia. Apabila manusia telah meminggirkan peranan roh, telah lalai daripada pencipta-Nya maka akibatnya manusia sedang menanggung segala bentuk gejala yang cukup membimbangkan.
Peranan hati atau roh amat penting sekali. Ia penentu hidup mati manusia. Ia penentu kepada kebaikan atau penentu kepada kejahatan setiap individu. Kemudian bertolak dari individu yang baik atau jahat inilah menggambarkan kehidupan seluruhnya sama ada di sudut ekonomi, pendidikan, perubatan, perhubungan,pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya.Jadi semuanya berpunca dari hati. Hati ini merupakan satu makhluk yang sangat tersembunyi, rahsia dan sulit untuk mengesannya. Tambah pula ia dibentengi oleh kubu-kubu kebal jasad manusia itu sendiri. Ia jadi raja dalam diri. Duduknya di atas singgahsana hati daging. Istananya diri manusia itu sendiri.
Jarang manusia pedulikan raja dirinya. Sedangkan raja (hati) inilah yang menguasai manusia itu. Yang mengarahkan anggota lahir (tentera-tenteranya) supaya buat kebaikan atau kejahatan, yang jadi penentu selamat di dunia dan penentu selamat di Akhirat.
Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik. Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan:Maksudnya: “Manusia itu mengikut agama pemerintahnya.” Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia. Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi:Maksudnya: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)
Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pembangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pembangunan material dan fizikal. Pembangunan material,tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin. Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum ‘Aad, kaum Tsamud, kaum Saba’ dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya.
Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda:Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At Tabrani)
Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia. Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengan memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya. Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orang-Nya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama ul amilin, paling tidak orang yang soleh.

Thursday, March 6, 2008

KEHIDUPAN MASYARAKAT SEBELUM KEDATANGAN ISLAM ( JAHILIYAH )

Pengertian Jahiliyah

Jahiliyah asal maknanya bodoh atau jahil masyarakat . Jahiliyah bukanlah bermakna ahli masyarakat itu bodoh , kurang pengetahuan, tidak mempunyai harta kebendaan , tidak mempunyai nilai pemikiran kemasyarakatan atau sebagainya.Jahiliyah yang diterangkan dalam Al-Quran ialah sikap mental yang menolak pedoman dan petunjuk dari Allah dan mencipta undang-undang yang berlawanan dari yang diturunkan oleh Allah.
Jahiliyah juga bukanlah berlawanan dengan apa yang dinamakan ilmu tamadun dan kemajuan kebendaan tetapi Jahiliyah sebenar berlawanan dengan ma’rifatullah, tidak berpandukan dengan hidayat Allah dan tidak berhakimkan dengan hukuman Allah.Al-Quran tidak menyatakan orang Arab itu Jahiliyah kerana mereka tidak mengetahui ilmu falak , kimia , kedoktoran , sistem politik , ilmu bahasa , kurang kemajuan kebendaan , kosong dengan sifat yang baik , sesungguhnya mereka Jahiliyah kerana mereka berhakimkan hawa nafsu dan menolak hukum-hukum Allah.
Masa Jahiliyah
Sesungguhnya fenomena Jahiliyah itu bukanlah muncul hanya pada tahap masa tertentu sahaja dalam sejarah bahkan ia boleh berulang pada sepanjang masa apabila wujud sebab musababnya . Sejarah manusia seluruhnya tidak terkeluar dari dua keadaan yang saling bertentangan yang tidak berkesudahan dan masing-masing menghasilkan natijah yang berlainan.

Perbezaan Hidayah dan Jahiliyah

Hidayah berpunca dari makrifatullah dan mengikut petunjukNYA sementara Jahiliyah itu terbit dari kejahilan terhadap Allah dan keengganan menurut titah perintahnya. Kedua-dua dasar tadi melahirkan sistem masing-masing dalam ekonomi social , politik , kebudayaan , ilmu pengetahuan dan sebagainya . Ini bersesuaian dengan kemampuan akal mereka dalam menganggapi alam material disekitarnya serta dipengaruhi oleh pengalaman hidup mereka . Dari kedua-dua dasar itu lahir pula dua masyarakat yang amat berbeza dari semua segi sama ada berkaitan dengan pegangan hidup yang berupa keyakinan mahupun sistem hidup yang menjadi amalan hidup mereka di dunia ini. Dari sini jelaslah kepada kita bahawa masyarakat manusia terbahagi kepada dua iaitu masyarakat Islam atau masyarakat Jahiliyah.
Ciri-ciri Masyarakat Jahiliyah
Di sini dapat dilihat ciri-ciri masyarakat jahiliyah iaitu masyarakat sebelum kedatangan Islam ialah :

(i) Tidak beriman kepada Allah dengan keimanan yang sebenar

Ciri ini merupakan ciri terpenting yang terdapat pada masyarakat Jahiliyah di sepanjang sejarah. Bahkan ianya adalah asas yang memperkembangkan Jahiliyah. Di atasnya terbina seluruh penyelewengan konsep, tingkah laku dan kepincangan sistem hidup manusia. Baik yang berhubung dengan perasaan, fikiran pemikiran dan hubungan sesama manusia dan manusia dengan alam seluruhnya.

(ii) Tidak menjalankan hukum Allah

Menolak atau tidak melaksanakan hukum atau peraturan Allah kerana mengikut hawa nafsu adalah dianggap Jahiliyah. Sebenarnya penolakan hukum Allah itu berpunca dari ciri yang pertama tadi.

(iii) Wujud taghut dalam masyarakat

Dalam seluruh masyarakat Jahiliyah pasti wujud taghut yang berusaha menyelewengkan manusia dari beribadat kepada Allah dan berhukum dengan syariatnya . Mereka berusaha sedaya upaya supaya manusia mentaati taghut dan hukum-hukum yang dicipta oleh manusia berdasarkan hawa nafsu .

(iv) Menurut hawa nafsu tanpa bimbingan hidayat Allah

Apabila jauh dari hidayah Allah, maka manusia akan tenggelam dalam alam hawa nafsu . Walaupun nafsu itu adalah penting untuk manusia tetapi jika dia dilepaskan tanpa kawalan serta bimbingan hidayah Allah ia akan membahayakan manusia itu sendiri dan menyebabkan manusia jatuh ke taraf yang paling bawah pada pandangan Allah s.w.t .